SEJARAH RINGKAS HUBUNGAN JOHOR DAN TURKIYE

SEJARAH RINGKAS HUBUNGAN JOHOR DAN TURKIYE

SEJARAH RINGKAS HUBUNGAN JOHOR DAN TURKIYE

Keberangkatan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Turkiye baru-baru ini menjadi lembaran terbaru dalam perhubungan dua hala yang akrab bersama Malaysia.
Hubungan erat Malaysia-Turkiye telah menyaksikan kerjasama yang baik dalam bidang pertahanan, perdagangan dan diplomasi Islam antarabangsa.
Perhubungan negeri Johor dan Turkiye pula mempunyai sejarah uniknya tersendiri.
Kesultanan Johor Moden yang diasaskan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar sekitar pertengahan abad ke-19 banyak mengambil pengaruh sistem pentadbiran luar negara hasil perhubungan diplomasi antarabangsa yang menjadi salah satu kemahiran luar biasa Baginda.
Umum mengetahui akan pengaruh British yang diterapkan ke dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negeri Johor hasil persahabatan akrab Sultan Abu Bakar dengan Queen Victoria.
Namun terdapat pengaruh besar lain yang sebenarnya turut menjadi inspirasi kepada anjakan modenisasi pentadbiran negeri Johor pada zaman itu.
Sebagai sebuah kerajaan Islam, Kesultanan Johor juga menjalin perhubungan yang rapat bersama Empayar Uthmaniyah di Istanbul, yang sedang melalui era “Tanzimat” (pemodenan) pada zaman itu.
Sultan Abu Bakar pernah berangkat ke Istanbul sebanyak dua kali, pertamanya pada tahun 1879 dan seterusnya pada tahun 1893 di mana Baginda telah disambut dengan pengiktirafan serta penuh penghormatan.
Perhubungan akrab ini berasaskan persaudaraan Islam serta perkongsian semangat mempertahankan maruah dan kedaulatan negeri daripada kuasa kolonial Barat.
Kesultanan Johor ketika itu sangat terbuka untuk berinteraksi dengan pelbagai pemikiran dan idea bagi mencari keseimbangan antara perkembangan dunia moden dengan tradisi, budaya dan nilai-nilai Islam.
Johor menjadikan Istanbul sebagai contoh untuk memahami perkembangan arus modenisasi ketika berdepan dengan tekanan penjajahan Barat, namun terus mengekalkan autonomi budaya dan identiti Melayu Islam.
Cara pemerintahan dan pentadbiran Empayar Uthmaniyah memberi sumbangan besar kepada pembentukan sistem kerajaan dan perundangan Kesultanan Johor Moden menerusi Majalah Ahkam Johor.
Malah, ia juga mempengaruhi penggubalan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, perlembagaan bertulis yang pertama digubal di Tanah Melayu.
Bendera Negeri Johor yang digunakan sehingga hari ini dan direka oleh Sultan Abu Bakar pada tahun 1871 juga mencerminkan pengaruh dan persahabatan akrab dengan Empayar Uthmaniyah, serta menjadi simbol strategik kedaulatan negeri Johor pada zaman itu kepada penjajah Barat.
Hubungan ini tumbuh lebih mendalam daripada sekadar hubungan diplomatik apabila turut berkembang melalui pertalian keluarga, serta perkongsian warisan budaya yang terus dapat dilihat hingga ke hari ini.
Antara keturunan keluarga kenamaan di negeri Johor yang mempunyai pertalian darah ke Turkiye adalah keluarga Allahyarham Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ke-3; Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid, dan Allahyarham Profesor Diraja Tan Sri Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
Kesemuanya bersaudara melalui Datin Rogayah Hanum Abdullah, seorang puteri keturunan Circassia dari Empayar Uthmaniyah. Kekandanya, Khadijah Hanum juga telah berkahwin dengan Sultan Abu Bakar dan bergelar Sultanah.
Pengaruh Uthmaniyah di Johor turut terserlah melalui seni bina mercu tanda utama di dalam negeri, seperti Masjid Sultan Abu Bakar yang siap dibina sepenuhnya oleh artisan Melayu tempatan pada tahun 1900.
Diadaptasikan daripada hasil penulisan:
Profesor Dr. Ismail Hakki Kadi,
Pengarah Sekolah Siswazah dan Profesor Jabatan Sejarah Fakulti Kesenian,
Universiti Istanbul Medeniyet
Dr Yakoob Ahmed,
Penyelidik Bebas,
Mantan Profesor Madya Institut Pengajian Islam,
Universiti Istanbul

SELAMAT ULANG TAHUN KEPUTERAAN YAM TUNKU ABU BAKAR AL-HAJ IBNI SULTAN IBRAHIM

SELAMAT ULANG TAHUN KEPUTERAAN YAM TUNKU ABU BAKAR AL-HAJ IBNI SULTAN IBRAHIM

SELAMAT ULANG TAHUN KEPUTERAAN YAM TUNKU ABU BAKAR AL-HAJ IBNI SULTAN IBRAHIM 

YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim diputerakan pada 30 Mei 2001 di Johor Bahru, merupakan anakanda keenam KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
YAM Tunku Abu Bakar dilantik dan dianugerahkan gelaran Tunku Putera Johor pada 22 November 2012 oleh Sultan Ibrahim.
Pada tahun 2022, Tunku Abu Bakar membuat penampilan pertamanya di siri perlumbaan GT World Challenge Asia mengikut jejak langkah kekandanya, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.
Tunku Abu Bakar bersama pasukan Johor Motorsport Racing, turut melakar beberapa kejayaan besar dalam kerjaya sukan permotoran yang membawa pengiktirafan menerima Anugerah Khas Sukan Negara 2024 bersama Tunku Abdul Rahman.

YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG SANTAP BERSAMA KELUARGA SEMPENA AIDILADHA

YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG SANTAP BERSAMA KELUARGA SEMPENA AIDILADHA

YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG SANTAP BERSAMA KELUARGA SEMPENA AIDILADHA

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah santap bersama keluarga dan cucunda bersempena Hari Raya Aidiladha di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini (27 Mei).
Berangkat sama, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor dan YAM Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor serta paduka anakanda.
Turut berangkat, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
YAM Tunku Tun Aminah binti Sultan Ibrahim dan suami Dato’ Dennis Muhammad Abdullah serta paduka anakanda berangkat sama pada majlis ini.

RAJA PERMAISURI AGONG BERKUNJUNG KE ISTANA TOPKAPI, ISTANBUL

RAJA PERMAISURI AGONG BERKUNJUNG KE ISTANA TOPKAPI, ISTANBUL

RAJA PERMAISURI AGONG BERKUNJUNG KE ISTANA TOPKAPI, ISTANBUL

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Istana Topkapi, Istanbul, semalam (25 Mei) sebelum berangkat pulang ke tanah air.
Istana berkenaan merupakan pusat pemerintahan empayar Uthmaniyah dari tahun 1465 sehingga 1853 dan dibina oleh Sultan Mehmed II berikutan penaklukan Istanbul (Constantinople).
Seri Paduka Baginda meluangkan masa hampir dua jam meneliti pelbagai artifak sejarah yang terkandung di dalam bilik khazanah diraja dan bilik khazanah Islam di muzium istana itu.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda diiringi YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
Kunjungan ke Istana Topkapi merupakan penutup tirai Lawatan Khas Raja Permaisuri Agong selama tiga hari ke Turkiye.
Seri Paduka Baginda bersama Paduka Anakanda telah berangkat pulang ke Malaysia menaiki pesawat peribadi yang berlepas pada pukul 8 malam waktu Turkiye (jam 1 pagi di Malaysia).

RAJA PERMAISURI AGONG BERKUNJUNG KE ISTANA DOLMABAHCE, ISTANBUL

RAJA PERMAISURI AGONG BERKUNJUNG KE ISTANA DOLMABAHCE, ISTANBUL

RAJA PERMAISURI AGONG BERKUNJUNG KE ISTANA DOLMABAHCE, ISTANBUL

KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong berkenan berangkat berkunjung ke Muzium Istana Dolmabahce di Istanbul, semalam (24 Mei).
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda telah disambut oleh Puan Tangűl Erol, Ketua Protokol muzium berkenaan yang menjadi saksi lembaran sejarah penting negara Turkiye.
Berangkat sama mengiringi Raja Permaisuri Agong, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor; YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor, dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
Turut bersama mengiringi Seri Paduka Baginda, Profesor Dr. Ismail Hakki Kadi, Pengarah Sekolah Siswazah dan profesor Jabatan Sejarah di Fakulti Kesenian, Universiti Istanbul Medeniyet, serta Dr Yakoob Ahmed, penyelidik bebas yang pernah berkhidmat sebagai Profesor Madya di Institut Pengajian Islam Universiti Istanbul.
Seri Paduka Baginda meluangkan masa kira-kira satu jam mengunjungi ruang-ruang utama di dalam istana itu, yang menyaksikan kejatuhan Empayar Uthmaniyah dan juga merupakan tempat di mana Mustafa Kemal Ataturk, pengasas Republik Turkiye, menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1938.
Dalam kunjungan itu juga, Raja Permaisuri Agong berpeluang mengimbau kembali lawatan ke Istana Dolmabahce bersama paduka kekanda dan adinda sewaktu zaman muda pada tahun 70-an dan bergambar kenangan di lokasi yang sama dalam perkarangan istana itu.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121