YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN DIPERSEMBAHKAN LAPORAN PEMBINAAN MASJID-MASJID BAHARU DI JOHOR
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima persembahan laporan pembinaan masjid-masjid baharu di Johor.
Laporan berkenaan dipersembahkan oleh
Dato’ Yahya Ahmad, Mufti Johor.
Hadir sama, Dato’ Nasri Md Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Dato’ Mohd Radzi Mohd Amin, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor.
Pembinaan sebanyak lima masjid baharu itu melibatkan dua di Johor Bahru dan masing-masing satu di Kluang, Mersing dan Kulai.
Peruntukan pembinaan adalah daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri serta sumbangan orang ramai.
Sesi mengadap bersama Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada hari ini (13 Mei).
YANG DI-PERTUAN AGONG TERIMA MENGADAP MENTERI BESAR DAN SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI JOHOR
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor.
Hadir sama, Dato’ Mohammed Ridha Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor dan Dato’ Mohammed Shakib Ali, Pengarah Tanah dan Galian Johor.
Sesi mengadap bersama Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru pada hari ini (13 Mei).
YANG DI-PERTUAN AGONG SERIKAN SESI FOTOGRAFI SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-80 UMNO
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke sesi fotografi di Tangga Selat Istana Besar, Johor Bahru sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-80 Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada hari ini (11 Mei).
Berangkat sama mengiringi Seri Paduka Baginda, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Keberangkatan Sultan Ibrahim disambut oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO dan Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi.
Sesi fotografi ini diadakan bagi mengenang sejarah penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946 di Istana Besar pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim, hasil Kongres Melayu Ketiga yang dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar.
Penubuhan parti ini menjadi salah sebuah lembaran utama dalam perjuangan nasionalisme negara sehingga mencetuskan pergerakan menentang Malayan Union dan kemudian ke arah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.
YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT PULANG SELEPAS MENGAKHIRI LAWATAN KHAS DI MOSCOW
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat pulang selepas mengakhiri lawatan khas di Moscow, Persekutuan Rusia.
Seri Paduka Baginda berangkat tiba ke Moscow pada Rabu lalu (6 Mei), di atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan Rusia sebagai tetamu kehormat sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan, yang berlangsung semalam (9 Mei).
Jemputan khas daripada TYT Presiden Vladimir V Putin kepada Seri Paduka Baginda untuk berangkat ke sambutan itu mencerminkan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Rusia terhadap Malaysia.
Pesawat peribadi Seri Paduka Baginda berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa
Vnukovo-2, Moscow hari ini (10 Mei) pada jam 3.30 petang (waktu tempatan Rusia).
PEMILIKAN KENDERAAN AURUS OLEH SULTAN IBRAHIM MELAMBANGKAN PERSAHABATAN KUKUH MALAYSIA-PERSEKUTUAN RUSIA
Pemilikan limosin Aurus Senat oleh KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim disifatkan sebagai satu penghormatan istimewa melambangkan hubungan erat serta persahabatan kukuh antara Malaysia dan Persekutuan Rusia.
Ini kerana model berkenaan juga jarang dimiliki di luar Persekutuan Rusia dan tidak dieksport secara meluas ke pasaran antarabangsa.
Aurus merupakan jenama kenderaan rasmi kepimpinan tertinggi Persekutuan Rusia dan sering digunakan oleh TYT Vladimir V Putin, Presiden Persekutuan Rusia dalam acara rasmi negara serta majlis diplomatik penting.
Aurus terkenal dengan gabungan teknologi moden serta ciri keselamatan bertaraf tinggi.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat ke Muzium Garaj Khas yang menempatkan himpunan lebih 50 unik kereta dan motosikal di Moscow pada hari ini (10 Mei).
Pada lawatan berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat mengenai koleksi-koleksi yang dipamerkan di muzium itu.
Majlis serahan Limosin Aurus Senat milik Seri Paduka Baginda turut berlangsung di muzium berkenaan.
Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke Muzium Garaj Khas disambut oleh Kirill Alekseevich Lysogorsky, Timbalan Menteri Pertama Industri dan Perdagangan Persekutuan Rusia; Belikov AV, Pengarah Muzium dan Nazarov FL, Ketua Pegawai Eksekutif NAMI.
- YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG ZAHIR UCAPAN SELAMAT HARI IBU
- HUBUNGAN MALAYSIA-PERSEKUTUAN RUSIA TERUS BERKEMBANG SECARA KONSISTEN - SULTAN IBRAHIM
- SULTAN IBRAHIM MELAKAR SEJARAH KETUA NEGARA MALAYSIA PERTAMA HADIR SAMBUTAN HARI KEMENANGAN DI MOSCOW
- SULTAN IBRAHIM SAKSIKAN DEMONSTRASI UDARA SUKHOI SU-57E OLEH HERO OF RUSSIA - SERGEI BOGDAN
