PEMANGKU SULTAN JOHOR RASMI MASJID BANDAR TIRAM SEMPENA ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI SULTAN JOHOR

PEMANGKU SULTAN JOHOR RASMI MASJID BANDAR TIRAM SEMPENA ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI SULTAN JOHOR

PEMANGKU SULTAN JOHOR RASMI MASJID BANDAR TIRAM SEMPENA ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN RASMI SULTAN JOHOR

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Bandar Tiram, Johor Bahru sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Johor pada hari ini (8 Mei).
Berangkat sama, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.
Turut hadir, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; Dato’ Dr Abdul Rahim Ramli, Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor; Dato’ Mohammed Ridha Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor dan YB Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor.
DYAM Pemangku Sultan Johor dan adinda kemudian berkenan menunaikan Solat Jumaat bersama jemaah.
Masjid yang tersergam indah dengan inspirasi fasad seni bina ikonik Masjid Sultan Abu Bakar ini telah siap sepenuhnya pada 27 Ogos 2025. Masjid Bandar Tiram merupakan masjid ke-7 di bawah Rangkaian Masjid An-Nur yang mampu menampung sehingga 1,500 jemaah pada satu-satu masa.
Masjid ini direka bukan sekadar sebagai pusat ibadah, malah berfungsi sebagai hub aktiviti komuniti yang inklusif merangkumi pusat perkongsian ilmu, perpaduan, dan kebajikan masyarakat setempat.

RAHMAT, UZBEKISTAN!

RAHMAT, UZBEKISTAN!

RAHMAT, UZBEKISTAN!

Oleh KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah
7 Mei 2026
Samarkand, Uzbekistan
Sebagai seorang yang bersekolah rendah di Malaysia, kemudian ke sekolah menengah dan universiti di England, saya telah mempelajari serta menyerap pengaruh budaya Malaysia dan British. Malah, ibu bapa saya membawa kami bercuti ke Eropah dan Amerika Syarikat.
Sudah sekian lama, ramai orang - seperti saya - hanya terfikir untuk melancong ke negara-negara di dunia Barat. Kami tidak cukup pengetahuan tentang negara-negara di Asia Tengah.
Saya pulang ke Malaysia dengan kenangan indah tentang Uzbekistan. Setiap orang yang kami temui telah menunjukkan kemesraan serta layanan yang luar biasa kepada kami.
Bandar-bandarnya - jika dibandingkan dengan beberapa tempat yang pernah saya kunjungi - sangat bersih! Terdapat bunga-bunga yang indah di mana-mana. Terdapat taman-taman untuk orang ramai bersiar-siar.
Kedai cenderamata di Tashkent dipenuhi dengan barangan yang menunjukkan nilai seni yang tinggi - daripada kotak kayu yang diukir halus sehinggalah kepada lukisan dengan perincian yang begitu teliti. Selain itu, terdapat selendang, jaket, dan jubah labuh yang disulam dengan warna-warna yang begitu menyerlah.
Lawatan ke Pusat Ketamadunan Islam merupakan satu pengalaman yang akan saya ingat dan hargai selamanya. Saya harap saya mempunyai lebih banyak masa untuk melihat semua paparan yang berbeza. Pusat tersebut benar-benar mencerminkan keluasan ilmu para cendekiawan Zaman Kegemilangan Islam!
Bagi tiga bangunan utama di Dataran Registan di Samarkand - keindahannya membuatkan saya cukup terpaku! Kedua-dua bahagian luar dan dalam masjid serta madrasah di sana sangat indah.
Saya gemar melukis sekali sekala dan merasa sangat rendah diri melihat kesenian dan kemahiran semua tukang yang telah membina bangunan-bangunan tersebut serta kawasan persekitarannya.
Kompleks Imam Bukhari juga mempamerkan sekali lagi bakat kesenian rakyat Uzbekistan serta warisan dan tradisi mereka. Saya sangat menyukai tiang-tiang kayu yang diukir.
Saya juga akan sentiasa menghargai detik dapat berada di Maqam salah seorang cendekiawan teragung dalam Islam.
Muzium dengan visual interaktif itu membuatkan kami lebih memahami tentang cendekiawan agung ini, kebijaksanaannya, kecintaannya terhadap agama, dan pencarian ilmunya yang membawa beliau ke banyak pusat pembelajaran hebat dalam dunia Islam.
Kita semua pernah membaca tentang beliau: kompilasi Hadis-hadis beliau terus menjadi panduan bagi semua umat Islam sehingga ke hari ini.
In Shaa Allah, dengan izin Allah, saya ingin membawa keluarga saya ke Uzbekistan.
Saya meninggalkan Uzbekistan, yang dipenuhi dengan begitu banyak sejarah dan keindahan, dengan berat hati - tetapi juga dengan harapan agar saya dapat datang ke sini lagi.
Kepada semua orang yang telah menghujani saya bukan sahaja dengan layanan yang mesra, tetapi juga yang telah berkongsi ilmu mereka, saya hanya mampu berkata dengan seikhlas hati saya - “Rahmat”.
Semoga Allah memberkati rakyat Uzbekistan kerana berkongsi dengan dunia keindahan Islam semasa Zaman Kegemilangannya berabad-abad yang lalu, dan kerana memelihara serta melindungi ilmu para cendekiawan agung anda agar seluruh dunia dan kita - generasi Islam hari ini dapat belajar dan melihatnya sendiri.

BUSANA RAJA PERMAISURI AGONG DIHIAS PERLAMBANGAN PENGHORMATAN PERSAHABATAN ANTARA MALAYSIA DAN UZBEKISTAN

BUSANA RAJA PERMAISURI AGONG DIHIAS PERLAMBANGAN PENGHORMATAN PERSAHABATAN ANTARA MALAYSIA DAN UZBEKISTAN

BUSANA RAJA PERMAISURI AGONG DIHIAS PERLAMBANGAN PENGHORMATAN PERSAHABATAN ANTARA MALAYSIA DAN UZBEKISTAN

Lawatan Khas KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke negara Uzbekistan membuka lembaran baharu dalam perhubungan dua hala negara ini, terutamanya dalam sektor pendidikan tinggi.
Sebagai penghormatan kepada persahabatan antara Malaysia dan negara Asia Tengah itu, busana pemakaian Seri Paduka Baginda telah dipilih dengan penuh teliti.
Bagi keberangkatan ke Persidangan Diraja mengenai “Tradisi Saintifik Dalam Ketamadunan Islam : Sumber, Potensi dan Cabaran” di Pusat Ketamadunan Islam (CIC) Tashkent pada 5 Mei, Raja Permaisuri Agong berkenan mengenakan baju kurung Kain Benang Johor berwarna “turquoise” (biru muda).
Baju itu telah dipadankan dengan sehelai selendang kain “abr” (bermaksud awan dalam bahasa Parsi) tempatan Tashkent berwarna sama bermotifkan corak bernama “Ikkat” yang dipandang tinggi dalam budaya politik dan diplomasi Uzbek.
Busana Raja Permaisuri Agong dilengkapi dengan sebutir kerongsang bulan sabit dan bintang sebagai simbol agama Islam.
Warna biru muda “turquoise” dipilih bersempena warna kubah utama CIC yang berketinggian kira-kira 65 meter dan merupakan salah satu tumpuan visual utama kompleks berkenaan yang melambangkan seni bina tradisional Islam.

YANG DI-PERTUAN AGONG SELAMAT TIBA DI MOSCOW SEBAGAI TETAMU KEHORMAT KERAJAAN PERSEKUTUAN RUSIA MENJELANG PERARAKAN HARI KEMENANGAN

YANG DI-PERTUAN AGONG SELAMAT TIBA DI MOSCOW SEBAGAI TETAMU KEHORMAT KERAJAAN PERSEKUTUAN RUSIA MENJELANG PERARAKAN HARI KEMENANGAN

YANG DI-PERTUAN AGONG SELAMAT TIBA DI MOSCOW SEBAGAI TETAMU KEHORMAT KERAJAAN PERSEKUTUAN RUSIA MENJELANG PERARAKAN HARI KEMENANGAN

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat tiba Moscow di atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan Rusia sebagai tetamu kehormat menjelang sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan, pada 9 Mei ini.
Terdahulu, pesawat peribadi Seri Paduka Baginda selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo-2, Moscow hari ini (6 Mei) pada jam 4.20 petang (waktu tempatan Rusia).
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Andrey Rudenko, Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Persekutuan Rusia dan Bogdashev Igor Viktorovich, Ketua Pengarah Jabatan Protokol Persekutuan Rusia.
Hadir sama, TYT Dato’ Cheong Loon Lai, Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia.
Jemputan khas daripada TYT Presiden Vladimir V Putin kepada Seri Paduka Baginda untuk berangkat ke sambutan itu mencerminkan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Rusia terhadap Malaysia.
Pada tahun lalu, Sultan Ibrahim melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia yang pertama mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Rusia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada tahun 1967.

YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT KE MOSCOW DI ATAS JEMPUTAN KHAS KERAJAAN PERSEKUTUAN RUSIA MENJELANG PERARAKAN HARI KEMENANGAN

YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT KE MOSCOW DI ATAS JEMPUTAN KHAS KERAJAAN PERSEKUTUAN RUSIA MENJELANG PERARAKAN HARI KEMENANGAN

YANG DI-PERTUAN AGONG BERANGKAT KE MOSCOW DI ATAS JEMPUTAN KHAS KERAJAAN PERSEKUTUAN RUSIA MENJELANG PERARAKAN HARI KEMENANGAN

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Moscow di atas jemputan khas Kerajaan Persekutuan Rusia menjelang sambutan Ulang Tahun Hari Kemenangan, pada 9 Mei ini.
Terdahulu, pesawat peribadi Seri Paduka Baginda berlepas dari Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, pada jam 8 pagi.
Jemputan khas daripada TYT Presiden Vladimir V Putin kepada Seri Paduka Baginda untuk berangkat ke sambutan itu mencerminkan pengiktirafan tertinggi Kerajaan Rusia terhadap Malaysia.
Berangkat sama, di Hangar Diraja untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda ialah YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dan YAM Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor.
Hadir sama, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Ketua Polis Negara dan Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman dan Datuk Ab Rahaman Arsad, Ketua Polis Johor.
Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor serta pegawai-pegawai Kerajaan Negeri.

Hubungi Kami

Istana Negara
50480 Jalan Tuanku Abdul Halim
Kuala Lumpur

Telefon : 03-6200 1000

Faks : 03-6205 2121